Oleh Prof. Mohamed Isa Abd. Majid
Pusat Racun Negara
Serangga daripada janis lebah, penyengat, tebuan dan tebuan tanah mempunyai kepentingan perubatan yang besar kerana gigitan atau sengatannya boleh menyebabkan tindakbalas keracunan mendadak serta alahan yang boleh membawa maut. Belakangan ini terdapat beberapa laporan akhbar tentang kejadian serangan lebah yang telah meragut nyawa kanak-kanak.
Bagaimana ini boleh terjadi?
Serangga ini adalah jenis serangga dari kumpulan hymenoptera yang mempunyai sengat bersambungan dengan saluran kantung racunnya di tapak sengatan supaya bahan racun terus mengalir ke dalam tubuh mangsanya. Sejenis bahan kimia yang disebut pteromone juga ditinggalkan kepada mangsanya bagi menarik perhatian lebah lain supaya menyerang mangsa tersebut.
Bagi langkah kecemasan pada sebarang gigitan serangga, langkah umum yang diambil adalah berdasarkan kepada anggapan bahawa setiap gigitan boleh memudaratkan kesihatan mangsa.
Jika ini berlaku, mangsa sengatan boleh menunjukkan salah satu tindakbalas berikut: untuk mangsa yang pertama kali disengat, kesan kesakitan dan rasa panas dirasai pada tapak sengatan. Bengkak merah akan muncul selepas sengatan tersebut dan bengkak ini akan hilang selepas satu hingga dua jam. Bahan beracun himenoptera boleh menghasilkan kesan-kesan reaksi setempat dalam masa beberapa jam, antaranya gerak balas badan (bahagian sengatan kelihatan timbul), rasa gatal, sakit dan bengkak kemerahan. Kesan-kesan ini akan surut dalam beberapa jam kecuali jika sengatan di mulut atau kerongkong yang menyebabkan reaksi ini boleh menyempit saluran pernafasan. Jika mangsa alah kepada bahan racun tersebut, kejutan anafilaksis akan dialami.
Untuk mangsa yang pernah mengalami sengatan sebelumnya atau menunjukkan kesan alahan yang keterlaluan, bengkak merah yang muncul akan merebak ke kawasan lain untuk menyebabkan mangsa mengalami kesan-kesan lain seperti pening, sakit kepala, sakit perut dan rasa lemah badan. Jika sengatan yang berlaku meliputi keseluruhan badan seperti di dalam sengatan sekawan besar serangga, tindakbalas alahan menjadi teruk sehingga mangsa boleh mengalami bengkak di saluran pernafasan, susah bernafas dan pengsan.
Kematian mengejut boleh berlaku jika langkah kecemasan tidak dijalankan ke atas mangsa sengatan ini. Reaksi alahan ini menjadi ketara antara 30 minit hingga 24 jam selepas disengat.
Reaksi luar biasa ini hanya terhasil daripada pembabasan bahan kimia yang dapat menghasilkan kejutan (penurunan tekanan darah), penyempitan sistem pernafasan, ruam menyeluruh dan bengak pada saluran darah. Ini membuatkan pesakit merasa sesak nafas, tidak sedarkan diri atau boleh menyebabkan maut. Reaksi ini biasanya dialami pada mangsa alah yang pernah disengat oleh tebuan atau lebah.
Reaksi anafilaksis, walaupun ringan (hanya ruam, lecur dan tidak mengancam nyawa) tetapi masih perlu dirawat di hospital atau klinik. Reaksi anafilaksi selalunya berlaku selepas badan menjadi peka (sensitisasi) apabila sedikit alergen terkandung pada racun yang masuk ke dalam tubuh mangsa menghasilkan reaksi pada sel-sel sistem pertahanan badan. Ini menjadikan sistem pertahanan lebih peka (hipersensitif) kepada bahan tersebut apabila didedahkan seterusnya. Selalunya sengatan pertama atau sengatan sensitisasi ini tidak disedari oleh mangsa kerana ia tidak menghasilkan kesan yang ketara selain reaksi setempat. Keupayaan hipersensitiviti hasil daripada sengatan sensitiasi boleh bertahan dari berberapa bulan hingga beberapa tahun.
Apakah langkah-langkah kecemasan yang perlu dilakukan?
-
Mana-mana bahagian tubuh yang terdedah boleh menjadi sasaran sengatan serangga. Apabila bekerja di luar rumah pastikan anda memakai baju berlengan panjang, seluar panjang dan kasut.
-
Elak memakai pakaian bercorak bunga-bunga dan berwarna-warni kerana ini akan menarik perhatian serangga himenoptera.
-
Pastikan anda tidak memakai bau-bauan atau minyak wangi atau bahan yang berbau kuat kerana ini boleh menarik perhatian serangga himenoptera.
-
Apabila berkelah pastikan makanan yang manis atau sisa makanan tidak terdedah kerana ini boleh menarik perhatian serangga himenoptera.
-
Jangan ganggu sarang serangga. Jika diusik, serangga cenderung untuk menyerang bagi melindungi sarangnya.
-
Gunakan racun serangga atau ubat sapu penghalau serangga di badan untuk mencegah gigitan atau sengatan serangga.
Apabila menghadapi serangga tebuan pergerakan yang perlahan untuk mengelak lebih baik daripada pergerakan cepat untuk melarikan diri atau cubaan untuk membunuh serangga tersebut.
Jika anak anda terkena sengatan serangga
-
Jika disengat oleh serangga, jangan tampar atau bunuh haiwan serangga tersebut. Kebiasaanya, serangga akan meninggalkan pundi sengat ke dalam kulit yang akan tertolak lebih dalam masuk ke kulit dan akan menyukarkan pengeluaran pundi sengat tersebut. Tepis serangga daripada kulit dan perhatikan sama ada pundi sengat masih tertanam di dalam kulit. Jika dapat melihat pundi sengat tersebut, gunakan pengumpil atau penyepit untuk menanggalkan pundi sengat.
-
Guna tali tornikuet untuk mengikat bahagian tangan atau kaki di atas tapak sengatan. Ikatan ini akan menperlahankan sebaran sengat ke bahagian lain tubuh.
-
Basuh kawasan sengatan dengan sabun dan air dan letakkan ais ke atas tapak sengatan untuk mengurangkan bengkak.
-
Hadkan pergerakan kaki atau tangan yang mengalami sengatan. Bawa mangsa berjumpa doktor dengan segara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan